
Foto :
Salah seorang anggota PGK bersenjatakan pistol Glock 17 semasa serbuan dalam pesawat
Pasukan Gerakan Khas adalah sebuah skuad elit anti-pengganas dibawah tanggungjawab KDN/KA yang berperanan besar memerangi keganasan dan jenayah berbahaya di Malaysia. Unit ini dibentuk hasil gabungan batalion Komando 69 dan Unit Tindakan Khas dan juga berperanan membantu Cawangan Khas.
Pasukan Gerakan Khas merupakan entiti utama pasukan elit di dalam Polis Diraja Malaysia yang terdiri daripada detasmen Komando 69 dan Unit Tindakan Khas yang menjadi jentera utama pasukan ini. Pasukan ini pada mulanya disusun dan disatukan dalam satu pasukan pada tahun 1997. Beret merun yang menjadi kebanggaan UTK ini dipakai kepada semua pegawai dan anggota bagi tujuan penyeragaman. Namun, penyatuan ini tidak bertahan lama apabila pada tahun 2003, kedua-duanya dipisahkan semula dan menjadi dua detasmen setelah mendapati adanya ketidakseimbangan disebalik penyatuan ini. Beret perang pasir dipakai semula oleh Komando 69, beret yang pernah dianugerahkan oleh Yang Dipertua Rejimen ke-22 Special Air Service British (SAS), manakala UTK masih mengekalkan beret merun mereka. Walaubagaimanapun, kedua-dua detasmen ini tetap berada dibawah kawalan induk dan seliaan Pasukan Gerakan Khas yang dipimpin oleh seorang Komander berpangkat Senior Assistan Commissioner II.
Pasukan Gerakan Khas ini turut terlibat dalam beberapa siri operasi menangani keganasan di dalam Malaysia, antaranya terlibat dalam operasi ketenteraan bersama Rejimen ke-22 Komando Grup Gerak Khas Tentera Darat Malaysia menumpaskan organisasi pengganas Al-Ma'unah yang baru terbentuk di Bukit Jenalik, Sauk, Perak. Selain itu, pasukan ini turut mengharumkan nama PDRM dengan penyertaan misi pengaman PBB di Timor Leste serta operasi mencari dan menyelamat 700 pegawai dan anggota BRIMOB (Briged Mobil) Polis Indonesia (POLRI) yang hilang dan terperangkap semasa kejadian tsunami di Acheh, Indonesia pada akhir tahun 2005 yang lalu. Pasukan ini turut bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah membanteras jenayah berbahaya, antara reputasi terbaik PGK ialah kejayaan menumpaskan kumpulan jenayah berbahaya M16 yang terdiri daripada beberapa penjenayah berbangsa Cina termasuk ketua kumpulannya yang merupakan bekas anggota tentera Singapura, kematian ketua kumpulan Gang 13 iaitu Mat Komando serta beberapa lagi operasi yang lain. Cogankata bagi Komando 69 adalah WARISAN DARAH PERWIRA, manakala UTK ialah TANGKAS MEMBANTERAS GANAS.
UNIT SELAM TEMPUR

Unit Selam Tempur merupakan sebuah unit elit anti pengganas maritim yang baru ditubuhkan pada tahun 2006 dan beroperasi sepenuhnya pada akhir tahun 2007 yang mendapat latihan khas daripada Amerika Syarikat setelah menyedari betapa perlunya sebuah unit khas marin dalam menjaga perairan negara daripada sebarang insiden yang boleh meruntuhkan sektor ekonomi mahupun pertahanan negara. Unit yang diletakkan di bawah formasi Pasukan Polis Marin yang berpangkalan di Pangkalan Polis Marin Kampung Aceh, Sitiawan, Perak dan Lahad Datu, Sabah ini berperanan besar dalam menangani ancaman lanun, selain rompakan, penculikan dan rampasan kapal serta serangan pengganas di perairan negara. Pasukan elit asalnya berkekuatan 30 anggota ini dilatih oleh jurulatih SEALs Amerika di Langkawi dan Kota Kinabalu serta dibekalkan dengan persenjataan khas seperti Glock 19, MP5-Navy dan Colt M4A1 (berkemungkinan dibiayai oleh Amerika Syarikat) ini mengamalkan taktik-taktik terkini anti-pengganas maritim yang diamalkan oleh unit-unit komando tentera laut Amerika Syarikat.
Terdapat beberapa banyak pihak termasuk media massa dan juga masyarakat menganggap mengapa pasukan ini dilatih oleh pihak asing dan tidak dilatih oleh pasukan elit tempatan daripada cabang Angkatan Tentera Malaysia, khususnya TLDM oleh PASKAL, namun disebaliknya ia juga merupakan hadiah kepada hubungan bilateral antara kerajaan Malaysia-Amerika Syarikat.
CAWANGAN KHAS
Jabatan ini adalah sayap perisikan yang bertanggungjawab untuk mengumpul risikan bagi keselamatan negara. Antara lain peranannya ialah mengumpul risikan keselamatan berkaitan dengan ancaman dari dalam dan luar negara, sebarang aktiviti subversif dan sabotaj oleh kumpulan pelampau atau individu yang boleh mengancam kestabilan negara. Seterusnya dengan memperolehi, mengolah, menilai dan mengedar maklumat serta memberi nasihat kepada jabatan-jabatan di dalam dan luar pasukan, serta pertubuhan-pertubuhan yang berkenaan. Jabatan ini terbahagi kepada beberapa cawangan seperti:- Inteligen Teknikal, Inteligen Sosial, Inteligen Luar, Inteligen Politik, Inteligen Ekonomi dan Inteligen Keselamatan.
Cawangan Khas diketuai oleh Komisioner Polis (CP).


















